Tuesday, May 21, 2013

TOKOH-TOKOH PENGARANG KARYA AGUNG





 Sejarah Kelahiran Munsyi Abdullah

Abdullah telah dilahirkan pada hari Ahad bersamaan 7 Safar 1211 Hijrah di Kampong Masjid atau dikenali juga sebagai Kampong Pali. Beliau mempunyai lima orang adik-beradik dan beliau merupakan anak bongsu. Namun begitu, keempat-empat abangnya itu telah meninggal dunia semasa kecil lagi iaitu ada yang meninggal dunia semasa  berusia  enam bulan, satu tahun, dua tahun dan tiga tahun.

Abdullah dikatakan berasal daripada keturunan datuknya yang bernama Shaikh Abdul-Kadir , iaitu orang Arab berbangsa Othmani dari negeri Yaman. Shaikh Abdul-Kadir merupakan seorang guru bahasa dan guru agama. Shaikh Abdul-Kadir dikatakan pernah tinggal di Tagor, India serta berkahwin dengan seorang wanita di sana. Beliau dikurniakan empat orang anak yang diberi nama Muhammad Ibrahim, Muhammad Desa, Nor Muhammad dan Zainal Abidin. Shaikh Abdul-Kadir juga dikatakan telah meninggal dunia di Tagor. Setelah dewasa, anak-anak Shaikh Abdul-Kadir telah membawa diri masing-masing. Tiga orang daripada anaknya telah berhijrah ke Tanah Jawa iaitu Muhammad Desa yang pergi ke Ambun, Nor Muhammad ke Sedayu dan Zainal Abidin pula ke Semarang. Walau bagaimanapun, seorang anaknya iaitu Muhammad Ibrahim pula telah datang ke negeri Melaka.

Di Melaka, Muhammad Ibrahim telah berkahwin dengan seorang gadis  bernama Pariachi yang berketurunan Shaikh Maralbi. Merekalah ibu bapa kepada bapa Abdullah yang diberi nama Shaikh Abdul-Kadir iaitu serupa dengan nama orang tuanya dahulu. Selapas dewasa, bapa Abdullah berkerja sebagai peniaga yang membawa barang dagangan ke hulu negeri Melaka. Di samping berniaga, bapa Abdullah juga turut mengajar mengaji, mengajar hukum-hukum sembahyang serta hukum lain yang berkaitan dengan agama islam kepada penduduk disana. Maka dengan itu, dia telah dilantik menjadi Khatib di Kampong Lubok Keping. Selepas itu mereka berpindah ke Sungai Baru.

Pada suatu hari, bapa Abdullah telah jatuh sakit. Dia dinasihatkan untuk menceraikan isterinya itu dan dia telah dibawa balik ke Melaka. Selepas itu, dia dikahwinkan dengan seorang wanita muslim keturunan Hindu yang berasal dari Kedah yang bernama Salmah. Dari situlah lahirnya Abdullah yang diberi nama sempena dengan seorang saudagar arab yang bernama Saiyid Abdullah.

Sejarah Pendidikan Munsyi Abdullah

Abdullah mula belajar dengan datuknya sewaktu berusia enam tahun. Ketika itu, Abdullah diajar untuk menulis huruf sahaja. Semasa berusia tujuh tahun, Adullah masih lagi dapat membaca dengan baik. Setelah diketahui oleh bapanya, Abdullah telah dimarahi dengan teruk. Selepas itu, bapanya sendiri yang mengajar Abdullah bergilir-gilir dengan datuknya iaitu datuknya pada waktu siang manakala bapanya pada waktu malam. Sewaktu belajar bersama bapanya, dia telah banyak dimarahi dan dan dipukul.

Selepas itu, Abdullah diserahkan oleh bapanya kepada dua orang bapa saudara Abdullah di sebelah ibunya yang bernama Lebai Ismail dan Muhammad Abdul Latif untuk belajar. Guru barunya ini juga tidak ubah sepertinya bapanya. Abdullah sering kali dimarahi oleh gurunya itu. Walaupun Abdullah diajar oleh orang lain, dia tetap tidak terlepas daripada ayahnya dirumah malahan lebih keras lagi. Abdullah dipaksa sehingga dia boleh membaca. Walau bagaimanapun, Abdullah akhirnya memperoleh pelajaran yang baik  kerana ketabahannya semasa menuntut ilmu serta  dia juga diberikan perhatian yang lebih berat berbanding murid-murid lain. Murid lain hanya diajar membaca sahaja tetapi Abdullah pula diajar membaca dan menulis. Hal inilah yang membawa kepada kelebihan Abdullah semasa menuntut ilmu.

Selepas meningkat remaja, Abdullah diserahkan oleh ayahnya kepada seorang guru untuk belajar bahasa Keling disamping mempelajari ilmu kira-kira ataupun matematik.Setelah dua setengah tahun belajar, dia kembali ke pangkuan ayahnya. Dia diminta oleh ayahnya untuk mencatat nama orang yang keluar masuk dari masjid. Kemudian dia diminta untuk menyalin setiap perkataan yang diucapkan oleh ayahnya. Hampir dua bulan dia berbuat demikian, dia semakin mahir dalam mengeja perkataan. Seterusnya, dia disuruh untuk mempelajari sesuatu perkataan serta memberi maksud setiap perkataan tersebut sambil dia memperlajari serba sedikit tentang nahu atau tatabahasa bahasa Melayu ini.

Melihat Abdullah semakin mahir, bapanya menyuruh pula untuk menyalin isi Al-Quran yang memakan masa selama lapan bulan untuk disiapkan oleh Abdullah. Apabila ayahnya telah berpuas hati dengan penulisan itu, disuruh  pula Abdullah untuk menyalin sebuah buku Melayu dan Arab. Selepas itu, Abdullah telah mempelajari bahasa Hindustan daripada seorang ketua askar Hindustan di dalam Kota Melaka. Di samping itu, Abdullah turut mengajar bahasa melayu kepada askar-askar Hindustan tersebut. Maka daripada itulah dia diberi gelaran “Munsyi” oleh askar-askar tersebut. Dia mengambil masa selama empat tahun untuk mempelajari bahasa Hindustan tersebut. Abdullah juga sempat belajar mengenai bahasa Melayu dengan Dato’ Sulaiman dan Dato’ Astor selama satu tahun setengah sebelum kedua gurunya itu meninggal dunia. Selepas itu,  Abdullah telah berguru dengan Mu’alim Muhyiddin yang datang dari Yaman dan belajar mengenai hukum-hukum bacaan Quran. Kemudian,  dia belajar bahasa Arab pula dengan seorang guru bernama Saiyid Sheikh bin Alwi.

Siapakah yang Mendorong Munsyi Abdullah Menulis Hikayat Abdullah?
Munsyi Abdullah memulakan Hikayat Abdullah dengan suatu bab pengenalan :
           Bahawa adalah kepada tatkala Hijrah Sanat 1246 lima likur (25) hari bulan Syaaban... iaitu tahun kepada likur  (22) hari bulan Oktober 1840, bahawa dewasa itu adalah seorang sahabatku, iaitu orang putih yang kukasihi akan dia, maka ialah meminta sangat- sangat kepadaku, iaitu hendak mengetahui akan asal usulku, dan peri hikayat segala kehidupan diriku; maka ia meminta karangkan suatu kitab dalam bahasa Melayu.

                                            ( Hikayat Abdullah 1: 1; Datoek Besar & Roolvink: 1; 478, 484 )
            Dalam bab 2 yang berjudul ‘ Hikayat Abdullah’ :
            “Bahawa sekarang dengarkan olehmu, hai kekasihku  maka adalah karangan akan kitab ini darihal hikayat diriku; maka kunamai akan dia ‘Hikayat Abdullah’. Maka adalah kurencanakan dalamnya dari zaman moyangku sampailah kepada masa aku dipersembahkan oleh ibuku dalam negeri Melaka... sehingga barang kulihat dan kudengar daripada segala hal ehwal zaman- zaman yang tersebut itu, baik dalam negeri Melaka, baik dalam negeri Singapura...”
                                                            ( Hikayat Abdullah 1: 1- 4: Bab 1 )
Para sejarawan dapat memastikan bahawa “kekasih” Abdullah yang menyarankan supaya beliau menulis buku tentang sejarah atau kisah keturunan dan hidupnya di Melaka itu sebenarnya ialah Alfred North. North adalah seorang paderi atau mubaligh yang berasal dari Amerika. Pada ketika itu, kumpulan mubaligh Alfred North dan percetakan di Singapura selepas Paderi Thomsen pulang ke England pada tahun 1834. Abdullah bin Abdul Kadir mula menulis Hikayat Abdullah pada bulan Oktober 1840 di rumahnya di Kampung Melaka, Singapura.


Munsyi Abdullah dari Segi Bahasa dan Kesusasteraan

Para sarjana bahasa sepakat bahawa dari segi penggunaan bahasa Melayu, Munsyi Abdullah tidak boleh disifatkan sebagai tokoh bahasa yang terbaik. Bahasa Melayu yang digunakan oleh Munsyi Abdullah tidak setaraf dengan bahasa Melayu yang terdapat di dalam karya- karya Melayu lama. Hal ini demikian kerana, Abdullah dilahirkan dalam keluarga yang bertutur dalam bahasa Tamil. Pada peringkat awal, bahasa Melayu diajar oleh bapa beliau sendiri. Namun, Abdullah sendiri mempunyai semangat yang kuat untuk mempelajari bahasa Melayu yang betul dan baik. Beliau turut belajar daripada orang- orang Melayu tulen yang benar- benar tahu membaca dan menulis bahasa Melayu beserta dengan nahunya.

Hasil daripada minat dan kesungguhan mempelajari bahasa Melayu serta banyak membaca buku- buku Melayu lama, Abdullah berjaya menguasai bahasa Melayu dengan baik sehingga boleh menulis surat- surat perjanjian dan surat- surat kiriman serta menterjemahkan buku- buku daripada bahasa Inggeris, bahasa Arab dan bahasa Tamil. Abdullah juga pandai mengarang syair. Namun, bahasa Melayu yang digunakan di dalam Hikayat Abdullah dikatakan tidaklah sebaik gaya bahasa Melayu lama itu. Bagaimanapun, Abdullah sendiri sangat berbangga dengan penguasaannya terhadap bahasa Melayu walaupun mungkin beliau sendiri tidak sedar tentang kelemahan bahasa Melayunya.

Orang- orang Inggeris yang belajar bahasa Melayu daripada Abdullah sememangnya tidak dapat menilai sejauh mana tahap keindahan bahasa Melayu Abdullah yang sebenarnya. Kebetulan pula, Abdullah sendiri mengakui bahawa bahasa yang diajarkan kepada saudagar- saudagar British di Singapura itu adalah bahasa pasar kerana mereka hanya setakat ingin pandai bertutur dengan penduduk tempatan sahaja. Namun, minat dan semangat Abdullah terhadap bahasa Melayu amat tebal sekali. Belum ada seorang pun daripada kalangan bangsa Melayu sendiri ( sebelum Munsyi Abdullah ) yang pernah melahirkan perasan amat sayang terhadap bahasa Melayu dan berusaha bersungguh- sungguh menyeru supaya orang Melayu sendiri patut mempelajari bahasa mereka secara formal, teratur dan betul.

Selain itu, Munsyi Abdullah turut mendapat tempat dalam kesusasteraan Melayu kerana diakui dan diterima oleh para sarjana kesusasteraan Melayu sebagai pelopor kesusasteraan Melayu moden. Maksud ‘kesusasteraan Melayu moden’ di sini ialah tumpuan penulisan atau cerita yang menjadi isi kandungan karya karangan Abdullah itu berbeza sekali daripada naskhah- naskhah Melayu lama. Hal ini demikian kerana, Abdullah tidak menulis tentang cerita- cerita khayalan atau dongeng. Bahan penulisannya juga tidak menyentuh tentang alam ghaib, mitos, dewa- dewa, kuasa- kuasa luar biasa atau kepercayaan tahyul masyarakat.

Sebaliknya, Abdullah menulis tentang hal- hal realiti, iaitu yang benar- benar berlaku ketika itu, tentang hal- hal yang dialami, dilihat dan didengar oleh beliau sendiri. Beliau hadir dalam kebanyakan peristiwa yang dicatatkan dalam Hikayat Abdullah. Gaya bahasa Abdullah juga sederhana dan tidak terlalu halus.


Nama penuh Raja Ali Haji ialah Raja Ali Al-Haji Ibn Raja Haji Ahmad. Beliau dilahirkan di Pulau Penyengat, Riau pada tahun 1809. Semasa masih kecil, beliau dibawa oleh ayahnya, iaitu Raja Ahmad pergi ke Jakarta. Jakarta pada ketika itu menjadi ibu negeri Hindia Belanda yang dikenali dengan nama Batavia. Raja Ali Haji merupakan pengarang yang terkemuka yang pernah dilahirkan di bumi Riau. Kedudukan beliau dalam pemerintahan dapat dianggap sebagai penasihat kepada Yang Dipertuan Muda(YTM) Riau, terutama sepupunya Raja Ali YTM Riau ke-8. Beliau mempunyai bakat yang hebat dalam pelbagai bidang dan beliau juga dapat dikatakan sebagai seorang guru agama kerana beliau pernah menjadi seorang guru agama di Pulau Penyengat. Raja Ali Haji sebenarnya berasal daripada keturunan bugis. Beliau berketurunan Kesultanan Riau-Lingga yang memiliki tradisi keagamaan dan keilmuan yang sangat kuat.

          Perkara yang mahu disentuh berhubung dengan biografi Raja Ali Haji ini ialah peranannya sebagai pengarang dan juga ahli agama. Peranan beliau sebagai pengarang sejarah dan ahli tatanegara lebih sesuai dibincangkan jika kita melihatnya dari sudut beberapa karya prosanya, terutama Tuhfat al-Nafis, dan Salasilah Melayu dan Bugis. Kita kurang jelas tentang pendidikan sewaktu kecilnya. Beliau diagakkan menerima pendidikan tradisional sebagaimana kanak-kanak Islam yang lain, iaitu dengan belajar membaca al-Quran dan pelajaran agama yang lain, terutamanya pelajaran fardu ain. Pelajaran awalnya mungkin diperoleh daripada ayahnya sendiri yang memang terkenal sebagai seorang intelek pada zamannya. Pengajian seterunsnya diperoleh daripada ulama yang silih berganti datang ke Riau.

Ayah beliau juga dikenali sebagai intelektual muslim yang produktif menulis karya-karya sastera yang besar. Ahli keluarga beliau terdiri daripada kalangan orang terpelajar dan suka dengan dunia penulisan. Raja Ali Haji mendapat pendidikan dasar daripada ayahnya sendiri dan beliau juga mendapat pendidikan dari lingkungan Istana Kesultanan Riau- Lingga di Pulau Penyengat. Beliau juga secara langsung mendapatkan pendidikan daripada tokoh-tokoh terkemuka yang datang ke Pulau Penyengat. Pada saat itu, Pulau Lingga dikenali sebagai pusat kebudayaan Melayu yang giat mengembangkan bidang agama Islam, bahasa dan sastera. Oleh sebab Raja Ali Haji merupakan sebahagian daripada keluarga besar kesultanan Riau, maka beliau termasuk orang pertama yang mendapatkan sentuhan pendidikan model ini, iaitu belajar dengan tokoh-tokoh ulama yang datang ke Pulau Penyengat dalam pelajaran al-Quran, hadis, dan ilmu-ilmu agama.

Walaupun Penyengat selalu dikunjungi oleh ulama luar, Raja Ali Haji dianggap sebagai guru agama yang dihormati. Beliau ialah penasihat dan guru agama kepada Yang Dipertuan Muda Raja Abdul Rahman (1831-1844), Raja Ali (1844-1857), Raja Abdullah (1857-1858) dan Raja Muhammad Yusuf. Di samping itu, beliau juga berguru dengan ulama luar seperti Habib Syeikh Syakaf, Sayid Hasanal-Hadad, Syeikh Ahmad Jibrati dan lain-lain.

1.0  Sumbangan Raja Ali Haji

            Setelah mengetahui latar belakang tokoh yang dikaji, iaitu Raja Ali Haji seterusnya kajian ini  akan meneliti sumbangan yang diberikan oleh beliau. Raja Ali Haji hidup pada sekitar tahun 1804-1872 dan tergolong ke dalam penulis-penulis daripada kalangan kaum bangsawan Riau-Johor. Karya-karyanya yang penting ialah Gurindam Dua Belas (1847), Bustan al-Katibin (1851), Thamarat al-Muhaimmah (1857) diikuti oleh Muqaddimmah fi Intizam Waza’if wa al-Malik, Silsilah Melayu dan Bugis (1861), Tuhfat al-Nafis (1866) dan beberapa yang lain. Dalam bidang bahasa, Raja Ali Haji telah menghasilkan dua buah karya yang amat penting dalam perkembangan bahasa Melayu, iaitu Kitab Bustanul Katibin dan Kitab Pengetahuan Bahasa.

Sebagai guru agama yang megajar tatabahasa, fiqah, dan tasawuf, Raja Ali Haji telah mengarang sebuah buku tatabahasa Melayu yang diberi nama Bustanul-Katibina Lis Subyanil-Mutaalamin. Dalam bahasa Melayu maksd judul tersebut ialah Kitab Perkebunan Jurutulis Bagi Kanak-kanak Yang hendak Menuntut Belajar Akan Dia. Buku tersebut juga merupakan sebuah buku pelajaran ejaan dan tatabahasa. Naskhah Bustnul Katibin ini telah dihasilkan dalam bentuk cap batu pada 20 Syaaban 1273H bersamaan dengan 15 April 1857 di Pulau Penyegat. Buku ini dapat dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu bahagaian pertama terdiri daripada penulisan tentang bahasa Melayu dan bahagian kedua menghuraikan tatabahasa bahasa Arab. Pada umumnya buku ini merupakan buku mengenai cara menulis huruf Arab ke dalam bahasa Melayu dengan beberapa penyesuaian istilah bahasa Arab. Raja Ali Haji telah berusaha menyesuaikan dan menerapkan sistem tatabahasa bahasa Arab ke dalam struktur ayat bahasa Melayu.

Kitab Pengetahuan Bahasa pula mempunyai ketebalan kira-kira 550 halaman. Kitab ini disusun dalam tahun 1858 dan dicetak di Singapura dalam tahun 1929. Karya ini merupakan sebuah kamus, tetapi tidak seperti kamus zaman sekarang. Buku ini lebih tepat dikatakan sejenis ensiklopedia yang mengandungi pengetahuan umum, pendapat dan padangan pengarangnya tentang perkataan-perkataan. Entri dalam buku ini tidak disusun mengikut abjad, sebaliknya mengikut caranya yang tersendiri. Buku ini tidak lengkap dan berakhir setakat huruf ca sahaja. Terdapat 32 halaman mengandungi huraian tentang bahasa Arab yang diterapkan oleh pengarang ke dalam bahasa Melayu.

Melalui kedua-dua hasil ini, Raja Ali Haji telah memulakan proses membina dan menjadikan bahasa Melayu-Riau bahasa yang kukuh dan berupaya sebagai alat pengungkapan ilmu pengetahuan. Hal ini sangat penting kerana kesannya ke atas perkembangan bahasa Melayu seterusnya sebagai bahasa persuaratan daerah Kepulauan Melayu dan bahasa kebangsaan negara-negara Indonesia, Malaysia, Singapura, dan Brunei Darussalam.

Raja Ali Haji juga telah melahirkan karya dalam bidang-bidang lain. Antaranya ialah dalam bidang sejarah beliau telah dianggap sebagai ‘pencatat sejarah Nusantara yang pertama’ dengan buku Salasilah Melayu dan Bugis dan Tuhfat-al-Nafis. Buku-buku ini merupakan sumber terpenting bagi sejarah Melayu. Buku Salasilah Melayu dan Bugis diterbitkan pada tahun 1911 di Singapura dalam bentuk litografi. Buku ini mengisahkan asal-usul keturunan raja-raja Bugis yang mengembara menuju kerajaan Melayu seperti Johor, Lingga, dan Riau. Buku sejarah yang lebih luas dan terperinci kandungannya ialah Tuhfat-al-Nafis yang mula ditulis pada tahun 1865. Buku ini terdiri daripada dua bahagian dan membicarakan sejarah Singapura, Melaka serta Johor, dan riwayat raja-raja Bugis.




No comments:

Post a Comment