Tema Hikayat Hang Tuah
Tema merupakan
suatu teknik yang amat penting dalam sesebuah karya kerana temalah yang menjadi
pokok cerita kepada sesebuah karya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2008)
pula, tema ialah sebjek yang menjadi dasar sesuatu pembicaraan, wacana,
karangan, cerita dan sebagainya. Tema juga merupakan tajuk atau pokok utama
sesebuah cerita. Dalam Hikayat Hang Tuah, tema yang cuba ditonjolkan oleh
pengarangnya ialah tema berkenaan dengan ketaatan atau kesetiaan Hang Tuah
kepada rajanya.
Ketaatan
Hang Tuah dapat dilihat dengan banyaknya dalam Hikayat Hang Tuah. Hang Tuah
merupakan seorang hamba yang perlu mempunyai raja untuk mengabdikan kesetiaan
dan ketaatannya. Oleh itu, kata taat yang menjadi tema dalam hikayat ini telah
menjadi landasan bagi Hang Tuah dalam melakukan segala tindakan terhadap
rajanya. Dalam erti kata yang lain, teks Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah
teks yang menceritakan ketaatan seorang hamba kepada rajanya. Sifat taat yang
terdapat dalam diri Hang Tuah ini menjadikan beliau sanggup melakukan apa
sahaja untuk rajanya.
Sebagai
contoh, Hang Tuah sanggup terjun ke telaga tahi untuk menyelamatkan kuda anak
raja. Dia juga sanggup masuk ke dalam kubur supaya dapat menceritakan kepada
raja bagaimana pengalaman seseorang yang dikebumikan. Hang Tuah juga sanggup
membunuh Hang Jebat iaitu sahabatnya sendiri sedangkan Hang Jebat melawan raja
adalah untuk menuntut bela atas tindakan raja yang menjatuhkan hukuman bunuh
kepada Hang Tuah. Selain itu, Hang Tuah turut sanggup bertarung
nyawanya dan melakukan sesuatu yang tidak rasional dengan melarikan Tun Teja ke
negeri Melaka hanya untuk
menunjukkan kesetiaannya terhadap raja Melaka
Persoalan
Selain tema, persoalan juga
memainkan peranan penting untuk melihat kekuatan bagi sesuatu kepengarangan.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2008), persoalan ialah sesuatu yang
dipersoalkan atau sesuatu yang menjadi masalah. Persoalan juga merupakan pembicaraan,
perbahasan atau perbincangan yang diketengahkan dalam sesebuah karya. Terdapat
banyak persoalan yang cuba diketengahkan oleh pengarang dalam Hikayat Hang
Tuah. Berdasarkan persoalan-peroalan inilah yang akan menjadi kekuatan untuk
mengangkat sesuatu karya itu menjadi karya yang agung.
Sesebuah karya sastera akan dibina
berdasarkan persoalan-persoalan yang dipetik daripada episod kehidupan dan
kegiatan manusia yang melatarinya. Pengarang akan menjalinkan
persoalan-persoalan ini sehingga menjadi satu rangkaian peristiwa yang
berkesimnambungan antara satu sama lain dan akhirnya dapat membentuk sebuah
karya yang mantap. Kesusasteraan Melayu Tradisional seperti Hikayat Hang Tuah
ini tidak terlepas daripada memaparkan persoalan-persoalan yang dipetik daripada
konteks kehidupan dan budaya masyarakat Melayu tradisional. Persoalan-persoalan
inilah yang akan menjadi kekuatan bagi sesebuah karya.
Antara persoalan yang ditimbulkan
oleh pengarang dalam Hikayat Hang Tuah ialah persoalan tentang keberanian atau
kepahlawanan Hang Tuah. Kepahlawanan Hang Tuah dapat dilihat berdasarkan sikap
dan akhlaknya. Hang Tuah juga mempunyai sifat-sifat keperwiraan Melayu silam
seperti memiliki ilmu batin iaitu ilmu mempertahankan diri bagi menewaskan
musuh. Kepahlawanan Hang Tuah juga dapat
dilihat ketika beliau masih kecil lagi. Hal ini kerana beliau telah mengalahkan
lanun-lanun bersama dengan sahabat-sahabatnya iaitu Hang Jebat, Hang Lekir,
Hang Kasturi dan Hang Lekiu. Semasa beliau masih kecil juga, beliau bersama
kawan-kawannya pernah membunuh empat orang yang sedang mengamuk di hadapan
Bendahara Paduka Raja. Disebabkan peristiwa inilah mereka berlima dilantik
sebagai Biduanda Raja. Bendahara Paduka Raja amat tertarik dengan keberanian
mereka berlima sedangkan segala pegawai dan pertuanan yang mengiringi Bendahara
lari melihat orang mengamuk. Keberanian Hang Tuah dan sahabatnya jelas
dinyatakan seperti yang terdapat di dalam teks berikut:
“Maka Hang Tuah dan
Hang Jebat pun melompat ke kiri ke kanan menyalahkan tikaman orang itu. setelah
lalu, ditikamnya orang itu, maka melompat Hang Tuah dan Hang Jebat, ditikamnya
seorang: itu pun rebah lalu mati”.
( HHT,1997:37 )
Selain
itu, persoalan tentang kebijaksanaan juga menjadi persoalan penting yang
terdapat dalam Hikayat Hang Tuah ini. Hang Tuah digambarkan oleh pengarang
sebagai seorang yang bijaksana dalam melakukan sesuatu tindakan. Sifat kebijaksanaan
yang ada pada diri beliau ini juga menyebabkan raja Melaka semakin
menyayanginya. Hang Tuah sememangnya seorang pahlawan yang bijaksana, setiap
tindakan yang dilakukan oleh beliau mempunyai tujuan yang tersendiri. Hang Tuah
bukan sahaja bijak dalam tindakannya malah beliau juga bijak dalam melakukan
helah. Pelbagai helah telah digunakan semasa pertarungan. Hang Tuah juga
dikatakan bijak kerana beliau berjaya menguasai 12 bahasa yang dipelajarinya
sejak kecil lagi. Antaranya adalah Bahasa Arab, Bahasa
Keling, Bahasa Siam, Bahasa Cina dan Bahasa Jawa.
… Telah berapa lamanya Hang Tuah
mengaji Qur’an, maka pengajian itu pun tamatlah. Maka Hang Tuah mengaji nahu
pula. Telah sudah tamat pengajiannya, maka dia berkata kepada bapanya, “Ayo
bapaku, pada bicara hamba, hendak mengaji pada lebai Keling pula, supaya hamba
tahu pula bahasanya.” Maka kata Hang Mahmud, “Benarlah seperti bicara anakku
itu.” Maka Hang Tuah pun mengajilah pula pada seorang lebai Keling. Hatta,
beberapa lamanya, maka tamatlah dengan bahasa Keling itu, habislah
diketahuinya. Maka Hnag Tuah pun berkata pada bapanya hendah mengaji pada lebai
Siam pula supaya diketahuilah akan bahasanya. Setelah sudah diketahuinya akan
bahasa Siam itu, maka Hang Tuah pun mengaji pula pada seorang lebai Cina.
Dengan tiada berapa lamanya maka ia pun tamatlah mengaji bahasa Cina itu. Maka
Hang Tuah pun mengaji pula pada lebai Jawa hendak diketahuinya akan bahasa Jawa
itu. Kalakian, setelah habislah rata diketahuinya dua belas bahasa itu, maka
Hang Tuah pun pulanglah ke rumahnya…
(
HHT, 1997: 24 )
Seterusnya,
persoalan tentang ketangkasan. Kejayaan
Hang Tuah sebagai pehlawan Melayu dilihat berdasarkan ketangkasan beliau
bermain senjata. Terdapat banyak peristiwa yang menunjukkan Hang Tuah sebagai
seorang yang tangkas. Anataranya
peristiwa ketika beliau yang hanya seorang diri berjaya menumpaskan tujuh
puluh orang penjurit yang mengamuk di pasar. Hang Tuah mempunyai taktik
tertentu untuk menumpaskan penjurit yang ramai itu. Pada mulanya beliau
berundur untuk mencari tempat bertahan. Beliau telah menemui satu lorong yang
hanya muat untuk seorang manusia sahaja dan pagar lorong itu diperbuat daripada
batu. Hang Tuah masuk ke dalam lorong itu untuk bertahan. Tujuh puluh orang
penjurit itu juga masuk ke dalam lorong itu secara beiringan. Dengan ketangkasan
yang dimiliki, Hang Tuah berjaya memancung kepala penjurit-penjurit tersebut.
Selain itu, ketangkasan Hang Tuah juga dapat digambarkan petikan teks tersebut:
Setelah
sudah Laksamana ke sungai, maka penjurit empat puluh itu pun datang ke
kiri kanan Laksamana, seraya berkata, “Bunuhlah Melayu ini beri mati-mati. Jangan lagi beri lepas.” Maka penjurit itu
pun berbahagi empat, sepuluh hadapan, sepuluh dari kanan, sepuluh dari kiri,
sepuluh dari belakang, lalu ditikamnya pada Laksamana pada tombaknya. Maka ditangkis
oleh Laksamana dengan sarung keris itu seraya dihunusnya keris
panjangnya seraya tertinggung ke sungai. Maka ditangkiskan oleh Laksamana
tikam penjurit itu empat puluh, suatu pun tiada mengena Laksamana.
(
HHT, 1997: 281 )
Pengajaran
Kekuatan kepengarangan Hikayat Hang Tuah juga dapat
dilihat melalui pengajaran yang terdapat dalam hikayat ini. Pengajaran ini
boleh dijadikan pedoman kepada masyarakat untuk melakukan sesuatu yang baik.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2008), pengajaran ialah perihal mengajar
atau segala sesuatu yang berkaitan dengan mengajar. Pengajaran juga membawa
makna peringatan atau pedoman. Dalam Hikayat Hang Tuah terdapat banyak
pengajaran yang boleh diambil untuk dijadikan pedoman. Antaranya seperti petikan
teks ini:
Maka
setelah lagi orang mengamuk enam puluh itu mengamuk segala orang Majapatit,
mana yang terlintang itu dibunuhnya. Setelah dilihat oleh Patih Kerma Wijaya
dan Hang Tuah, orang mengamuk itu datang pula- segala orang yang memalu
bunyi-bunyian Betara Majapahit itu pun habis lari cerai-berai, segala
bunyi-bunyian yang dipalu itu pun habis ditinggalkannya – maka Hang Tuah pun
geram rasanya. Maka ia pun memekik, katanya, “ ceh, barang siapa undur setapak
juga, kupenggal lehernya dengan tempa Melaka ini. Bukan orangnya yang hendak
digertak-gertak itu.”
(
HHT, 1997: 205 )
Petikan ini mengajar
kita supaya sentiasa berhati-hati dalam segala tindakan terutamanya dalam
hubungan sesama manusia. Kadang-kala terdapat manusia yang sengaja merancang
sesuatu tindakan untuk menguji keutuhan sesebuah negara. Pihak perancang ingin
melihat tindakan yang diambil oleh sesetengah pihak apabila mereka melaksanakan
sesuatu perancangan. Hal ini dapat dilihat berdasarkan peristiwa Majapahit
diserang oleh orang mengamuk untuk melihat sejauh mana keutuhan dan keharmonian
golongan masyarakat Majapahit.
Selain itu, kita juga
hendaklah bersama-sama menunjukkan sikap kekitaan, kebersamaan, dan keberanian
untuk menghadapi ancaman daripada orang lain. Kita juga perlu mengelakkan diri
daripada lari apabila berhadapan dengan sesuatu masalah kerana pengunduran
seseorang akan memberi kesan kepada individu lain yang akan turut menjejaki
tindakan tersebut. Hal ini akan mendatangkan kesan seperti kekalahan dalam
pertempuran dan akan memusnahkan tanah air dan bangsa sendiri. Oleh itu, sikap
Hang Tuah yang merah apabila orang-orang Majapahit melarikan diri daripada
orang mengamuk menunjukkan bahawa Hang Tuah tidak mahu orang-orang Majapahit
menunjukkan sikap yang negetif kepada pihak musuh.
Tuntasnya, berdasarkan tema dan persoalan yang
ditonjolkan oleh pengarang boleh menjadikan karya Hikayat Hang Tuah ini menjadi
karya yang agung kerana hikayat ini mempunyai kekuatan kepengarangan yang
tersendiri berbanding karya-karya sastera tradisional yang lain. Hikayat ini
merupakan hikayat yang mengangkat bangsa Melayu sebagai bangsa yang kuat dan
berani berdasarkan watak utamanya iaitu Hang Tuah. Tema dan persoalan yang
dibincangkan juga banyak menekankan tentang kehebatan wataknya yang menjadi
cerminan bagi masyarakat Melayu. Selain itu, pengajaran yang terdapat dalam
hikayat ini juga turut menjadikan Hikayat Hang Tuah ini menjadi sebuah hikayat
yang agung. Pengajaran ini juga menjadi pedoman kedapa masyarakat dan menjadi
antara kekuatan yang terdapat dalam karya.
No comments:
Post a Comment