Tuesday, May 21, 2013

KONSEP KARYA AGUNG MELAYU


KONSEP KARYA AGUNG

Karya agung merupakan karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah, budaya, dan sosial yang kekal dalam kesedaran dan ingatan pembaca. Unsur dalam karya ini merangkumi mutu, nilai ketamadunan dan nilai kemanusiaan di dalam karya tersebut.

Karya–karya agung ini melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. Karya agung dapat membuatkan kita mengenali dan mengetahui sejarah dan kehebatan tamadun – tamadun dunia, seperti tamadun Greek, Mesir dan bangsa-bangsa yang lain. Melalui penghasilan karya seni, pemikiran, falsafah, sastera yang cetuskan oleh  seniman dan sasterawan mampu meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman. Hasil kepengarangan ini dipelajari, dijadikan panduan, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga ke zaman ini.

Karya agung Melayu dapat melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif  bangsa Melayu. Pelbagai persoalan kehidupan dan masyarakat terangkum indah dalam sebuah karya.

Karya Agung Melayu bererti karya agung yang ditulis, diungkapkan atau dilisankan dalam bentuk pepatah, pantun, dan lipur lara dalam bahasa Melayu, tidak mengambil kira kelompok bangsa atau etnik dalam kawasan Dunia Melayu ini yang menghasilkan karya itu. Persoalan sempadan geografi juga tidak timbul, tidak kira daerah asalnya dan mampu tercetus dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun-menurun.

Berdasarkan takrif Yayasan Karyawan pula, karya agung ialah karya yang tertulis dalam bahasa Melayu atau diungkapkan atau disalin dalam bahasa Melayu tidak kira di mana daerah di dunia Melayu ini serta yang mampu mencetuskan dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, dan unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu secara turun-temurun. Tuntasnya, karya agung Melayu merupakan warisan budaya kesusasteraan bangsa Melayu. Karya agung Melayu tradisional dianggap sebagai hasil kreativiti seni persuratan dan penceritaan dan sebagai pembentuk tradisi atau tamadun bangsa sehingga kesannya kekal dalam kesedaran bangsa Melayu sepanjang zaman. Contoh karya yang diangkat sebagai karya agung adalah seperti Hikayat Hang Tuah, Sulalatus Salatin dan Tuhfat Al-Nafis.

Contoh Karya Agung : HIKAYAT HANG TUAH

            Hikayat Hang Tuah merupakan antara karya agung Melayu yang amat berpengaruh. Hikayat ini merupakan satu-satunya epik Melayu yang melakar cita-cita, kebolehan, dan sikap hidup orang-orang Melayu pada suatu zaman. Hang Tuah merupakan seorang laksamana yang unggul serta pahlawan Melayu yang gagah dan mewakili keunggulan citra Melayu sebagai bangsa yang berbudaya dan bertamadun semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah di Melaka pada abad ke-15.

            Laksamana Hang Tuah ialah seorang yang berhati waja, berani, gagah, taat dan bijaksana. Walaupun berbeza-beza corak penceritaan, kepahlawanan Hang Tuah tetap ada dan sering menjadi simbol kekuatan masyarakat Melayu. Dari sudut falsafah pula, perlambangan Hang Tuah itu sendiri merupakan satu falsafah yang telah digerakkan dengan pelbagai keistimewaan dan memiliki pelbagai kelebihan yang menjadi nadi kekuatan dan pujaan masyarakat. Segala tindak tanduk Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah memiliki makna yang tersendiri serta yang tersirat.

            Selain itu, Hikayat Hang Tuah banyak menceritakan kebudayaan dan sosial masyarakat Melayu yang membawa satu pengertian yang luas merangkumi segala hal berkaitan dengan masyarakat termasuk struktur sosial, bentuk kepercayaan, dan strategi fikasi sosial, kepercayaan dan agama juga merupakan dua aspek sosial yang menjadi pegangan masyarakat. Masyarakat pada masa itu menganuti agama Islam dan mengamalkan dua bentuk kepercayaan iaitu berunsurkan animisme dan Hindu-Buddha.

Jelaslah, betapa pengarang hikayat ini mempunyai idealisme untuk mengangkat martabat bangsa Melayu setinggi mungkin. Perkara inilah yang dikatakan bahawa karya agung ini melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya.

No comments:

Post a Comment