Tuesday, May 21, 2013

DEFINISI DAN ETIMOLOGI MELAYU


TAKRIF MELAYU

Perkataan Melayu boleh dihuraikan berdasarkan kepada beberapa aspek. Antaranya seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia dan takrif Melayu berlandaskan takrifan yang diberikan oleh UNESCO. Selain itu, kata Melayu juga boleh dikaitkan dengan orang Melayu yang mempunyai ciri-ciri yang tersendiri dan memerlukan penjelasan atau huraian yang lebih lanjut tentangnya.

Menurut Syed Husin Ali dalam Dr. Hj. Mohd Rashid Md Idris (2004), dari segi lahiriah, lazimnya orang Melayu berkulit sawo matang, berbadan sederhana besar serta tegap dan selalu berlemah-lembut serta berbudi bahasa. Dari segi budaya, definisi Melayu meliputi penduduk kawasan yang lebih luas, iaitu gugusan pulau-pulau Melayu yang meliputi Malaysia, Indonesia, Filipina dan lain-lain. Dari segi undang-undang, definisi Melayu hanya meliputi penduduk Malaysia seperti yang ditakrifkan oleh perlembagaan. Menurut Perlembagaan Malaysia, Fasal 160, Melayu diertikan sebagai:

“…seseorang yang menganut agama Islam, lazimnya bercakap bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu dan lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau ibu bapanya lahir di Persekutuan atau Singapura, atau pada Hari Merdeka ia adalah berdominasi di Persekutuan atau di Singapura atau ia adalah keturunan seseorang yang tersebut.

Selain itu, menurut Aris Osman dalam Dr. Hj. Mohd Rashid Md Idris (2004) pula, terdapat beberapa definisi yang telah diberikan tentang orang Melayu. Definisi yang pertama tentang orang Melayu telah diberikan berdasarkan sosiobudaya. Definisi yang diberikan ini lebih meluas kerana merangkumi etnik-etnik yang mendiami di luar kawasan sempadan Malaysia seperti etnik Minangkabau, Jawa, Bugis, Banjar, Mendaleng dan sebagainya. Oleh itu, definisi Melayu seperti yang tercatat dalam Perlembagaan Malaysia dikatakan sebagai satu definisi yang sempit tentang orang Melayu hasil daripada politik semasa. Definisi Melayu yang paling sempit ialah orang Melayu yang didasarkan kepada daerah atau negeri seperti orang Melayu Johor, orang Melayu Kelantan, orang Melayu Kedah dan sebagainya. Berpandukan definisi sempit yang diberikan terhadap orang Melayu mengikut negeri atau daerah, berlaku sedikit kategori Melayu yang lebih luas apabila definisi itu dikaitkan dengan beberapa suku yang tertentu. Sebagai contoh, suku Indonesia, orang Melayu keturunan Arab dan orang Melayu keturunan Keling dan lain-lain bangsa yang memeluk agama Islam, bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat orang Melayu.

Sama ada kita sedar atau tidak, sebenarnya definisi Melayu yang diberikan oleh Perlembagaan Malaysia telah membuka ruang kepada sesiapa sahaja untuk menjadi Melayu dengan syarat seseorang itu memeluk agama Islam, pandai berbahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat orang Melayu sekiranya seseorang itu menepati syarat-syarat yang ditetapkan oleh Perlembagaan Malaysia. Oleh sebab itu, apabila bangsa-bangsa lain menganut agama Islam, dia dikatakan sebagai ‘masuk Melayu’, (Dr. Hj. Mohd Rashid Md Idris, 2007)

ETIMOLOGI MELAYU

Melayu berasal daripada perkataan Sanskrit ‘Malaya’  atau daripada perkataan Tamil ‘Malai’ yang bermaksud ‘bukit’ atau ‘tanah tinggi’. Menurut Zuber Usman dalam Abdul Rashid Melebek (2006), perkataan Melayu berasal daripada perkataan ‘Himalaya’ yang disingkatkan kepada ‘Malaya’ dan kemudian menjadi Melayu. Perkataan ‘Himalaya’ berasal daripada perkataan ‘hima’ dan ‘alaya’. ‘Hima’ bererti salji atau salju manakala ‘alaya’ pula bererti tempat. Oleh hal yang demikian ‘Himalaya’ bermaksud tempat sejuk seperti di puncak gunung yang tinggi. Terdapat juga pengkaji yang mengatakan bahawa Melayu itu daripada perkataan ‘Malaiyur-pura’ yang terpahat pada prasasti Bukit Gombak I di Sumatera Barat. Malaiyurpura bererti kota malaiyur atau kota gunung. Kemudian dari situ timbul perkataan malaiyur, malaiyu, malayu dan Melayu.

Selain itu, ada juga yang mengatakan bahawa perkataan itu berasal daripada perkataan ‘pamalayu’, iaitu peristiwa ketika berlaku penyerangan oleh Raja Kertanegara dari Singhasari Jawa Timur di Hulu Jambi di sempadan Sumatera Barat. Kemudian di situ didirikan sebuah prasasti, iaitu prasasti Amoghapasa. Prasasti itu dibina sebagai peringatan tentang berlakunya ekspedisi angkatan perang dari Jawa Timur tadi ke daerah Malayu pada pada tahun 1286. Pamalayu itu bermaksud Ekspedisi Malayu, iaitu penyerangan dan seterusnya penguasaan terhadap negeri Malayu. Begitu juga ada pendapat yang mengatakan bahawa perkataan Melayu itu berasal daripada perkataan Jawa Kuno dan juga Jawa Baru, iaitu mlaya dan mlayu yang bererti lari.

Selain itu juga, ada pendapat yang mengatakan bahawa perkataan Melayu berasal daripada Malayu, iaitu sebuah kerajaan yang berpusatdi Muara Jambi. Kerajaan Malayu ini terwujud pada abad ke-7 (644M) dan pernah dilawati oleh I Tsing pada 671M. Nama Malayu bagi kerajaan Malayu ini berasal daripada nama sebuah sungai yang teretak di situ, iaitu Sungai Malayu. Asal usul orang Melayu, iaitu penutur asli bahasa Melayu, amat kabur kerana sejarah kuno Asia Tenggara masih belum diselidik dengan mendalam. Beberapa teori telah mengatakan bahawa penutur bahasa Melayu berasal daripada golongan manusia yang diberi nama Austronesia. Mereka datang dari daerah Yunan dan menjelajah ke Selatan dalam bentuk beberapa gelombang pergerakan manusia dan menduduki wilayah Asia Tenggara. Perkara ini berlaku sejak tahun 2500 Sebelum Masihi, iaitu dengan kedatangan golongan pertama yang disebut Melayu Proto.

Nama Melayu sebagai bahasa dan bangsa baru wujud, terutama setelah terdiri Kerajaan Melayu Melaka. Orang Cina pada zaman awal yang rajin menulis segala peristiwa yang berlaku di Timur termasuk di Asia Tenggara, menamakan penduduk di Asia Tenggara sebagai bangsa ‘Kun L’un’ dan bahasanya juga disebut bahasa Kun L’un. Kita tidak dapat mengetahui sebab mereka memanggil orang di Asia Tenggara sebagai bahasa Kun L’un, namun mengikut pendapat Profesor Liang Liji, nama Kun L’un diambil daripada perkataan gunung daam bahasa Cina kerana pada masa dahulu orang Cina belayar ke laut selatan telah singgah di tempat yang didiami oleh orang Kun L’un tadi dan secara kebetulan di tempat-tempat tersebut terdapat gunung-gunung, seperti Gunung Daik, Gunung Jerai, Bukit Siguntang, Santubung, gunung-gunung di Pulau Jawa, Sabah, Filipina, dan lain-lain. Selain itu, semua orang yang datang dari selatan serta berbahasa dan berkebudayaan yang sama dengan penduduk di Kun L’un juga dipanggil sebagai Kun L’un.

Terdapat juga teori lain tentang asal-usul perkataan Kun L’un ini. Dalam teori ini dikatakan bahawa Kun L’un berasal daripada perkataan Kundur, iaitu nama sebuah pulau di Sungai Mekong di Vietnam Selatan. Pulau Kundur atau biasa dieja Pulo Condor dalam tulisan orang Barat disebut orang Cina sebagai Kun L’un, iaitu bunyi pelat orang Cina. Pada masa dahulu orang Melayu pernah menduduki pulau ini bahkan juga di beberapa tempat lain di Pantai Vietnam Selatan hingga ke Vietnam Tengah seperti di Pandurangga, Dharawati, dan Phanrang. Mereka ini belayar di kawasan Asia Tenggara, terutama di daerah kepulauan dan juga di pantai-pantai daratan Asia Tenggara. Orang Cina yang datang dari Utara telah bertembung dan berjumpa dengan orang Melayu ini di Pulo Condor. Kemudian mereka menamakan penduduk itu sebagai Kundur atau pelatnya Kun L’un. Nama Kun L’un bukan sahaja diberikan kepada penduduk Pulau Kundur, bahkan juga kepada orang lain yang datang dari Selatan, terutama kepulauan Asia Tenggara. Hal ini demikian kerana, bahasa dan kebudayaan serta adat resam mereka adalah sama. Dengan itu panggilan Kun L’un adalah untuk orang Melayu keseluruhannya dan panggilan ini telah wujud sejak zaman dahulu lagi, iaitu pada zaman-zaman selepas tarikh Masihi.

Selain panggilan di atas, bangsa Melayu juga biasa dipanggil sebagai orang Jawa. Panggilan ini dibuat oleh penduduk di daratan Asia Tenggara seperti di Vietnam dan Kemboja terhadap penduduk yang ada di kepualuan Asia Tenggara. Panggilan seumpama itu masih kekal sehingga kini. Selain itu, orang di Asia Barat, terutama Arab juga memanggil penduduk di Asia Tenggara sebagai Jawa atau Jawi. Nama Jawa bukan sahaja untuk orang Jawa bahkan juga kepada suku-suku bangsa Melayu yang lain seperti Melayu, Madura, Bugis, Aceh, Makasar, Filipino, dan lain-lain. Sebenarnya nama Jawa ini diambil daripada nama Dwipa, iaitu nama yang diberikan kepada daerah Asia Tenggara pada zaman dahulu.  

TAKRIF DAN ETIMOLOGI MELAYU DALAM KARYA AGUNG

Berdasarkan definisi Melayu yang diberikan oleh Syed Husin Ali dalam Dr. Hj. Mohd Rashid Md Idris (2004), dari segi lahiriah, lazimnya orang Melayu berkulit sawo matang, berbadan sederhana besar serta tegap dan selalu berlemah-lembut serta berbudi bahasa, pernyataan ini dapat dilihat dan dikenal pasti maksud yang dibawa oleh pernyataan ini wujud dalam sebuah karya agung yang bertajuk Hikayat Hang Tuah. Mana Sikana (2007) menyuarakan bahawa nama jolokan bagi pengarang karya agung tersebut sebagai Tun Bestari atas beberapa alasan yang tersendiri. Sehingga kini, nama pengarang sebenar Hikayat Hang Tuah masih belum diketahui. Hikayat Hang Tuah merupakan satu epik unggul yang menceritakan satu-satunya wira Melayu yang tidak ada tolok bandingnya. Hang Tuah telah diterima sebagai seorang wira Melayu sejak 500 tahun dahulu. Oleh yang demikian, apabila terhasilnya sebuah karya yang agung, sudah tentu pengarangnya merupakan seorang yang sangat bijak, pujangga, dan bestari. Oleh itu, beliau dinamakan Tun Bestari, (Mana Sikana, 2007).

Penangan Hang Tuah terhadap jiwa, pemikiran dan cara hidup orang Melayu sangat dirasai. Watak-watak yang terkandung dalam penceritaan tersebut seperti Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu telah menggambarkan kegagahan perwira-perwira Melayu yang berjaya mengalahkan musuh-musuh yang datang dari dalam mahupun dari luar negeri. Hal ini dapat menjelaskan bahawa mereka mempunyai tubuh badan yang tegap dan berupaya menewaskan musuh. Dilihat dari segi pergaulannya dalam masyarakat, Hang Tuah dikenali sebagai manusia yang lemah lembut, baik budi bicara, tidak hilang akal dan sentiasa menghormati orang lain. Hal ini jelas terbukti apabila didapati bahawa perkataan yang gemar digunakannya ialah ‘bicara’ dan ‘fikir’ yang menunjukkan dia suka berunding dalam sesuatu hal untuk mencapai sesuatu keputusan. Sebagai contoh, sewaktu kecil, dia telah berunding dengan rakan-rakannya tentang hal-hal yang mereka lakukan. Mereka sama-sama bersetuju untuk belayar di laut. Begitu juga dalam usia remajanya, Hang Tuah berunding dengan sahabat-sahabatnya untuk pergi berguru. Sifat menghormati hak orang lain dapat dilihat sewaktu dai Berjaya membunuh Kertala Sari yang telah menyamun harta orang-orang Melaka. Semua harta tersebut telah diserahkan kepada tuan empunya harta tersebut. Hang Tuah tidak menunjukkan sikap mementingkan diri sendiri tetapi dia lebih mementingkan masyarakat umum. Oleh yang demikian, terbuktilah bahawa definisi Melayu menurut Syed Husin Ali yang menyatakan bahawa orang Melayu selalu berlemah-lembut dan berbudi bahasa itu wujud dalam penceritaan Hikayat Hang Tuah.

Menurut Perlembagaan Malaysia fasal 160, salah satu ciri yang terkandung di dalamnya ialah Melayu diertikan sebagai seseorang yang menganut agama Islam. Berpandukan kepada Hikayat Hang Tuah, ciri ini wujud dalam diri Hang Tuah itu sendiri. Hal ini jelas dibuktikan apabila terungkap perkataan ‘Alhamdulillah’ oleh Hang Tuah apabila dia menerima pelbagai halangan dan rintangan termasuk fitnah dan hukuman bunuh. Sewaktu kecil, Hang Tuah belajar mengaji al-Quran, bahasa Arab dan berguru. Bagi memberi penjelasan yang lebih mendalam tentang perkara ini, terdapat lagi perkara-perkara lain yang boleh dijelaskan bagi membuktikan bahawa terdapat ciri Melayu yang diertikan sebagai seseorang yang menganut agama Islam dalam karya agung tersebut. Hang Tuah terdidik dengan ilmu keagamaan meskipun dia bukanlah seorang yang alim. Sewaktu kecil, Hang Tuah sudah belajar membaca al-Quran, belajar ilmu agama daripada para ulama dan mempelajari bahasa Arab sehingga dia dapat bertutur dalam bahasa tersebut. Sifat-sifat keagamaannya semakin jelas tergambar pada hari-hari tuanya dengan menjalani kehidupan sebagai seorang yang zuhud. Peristiwa masuk ke dalam kubur sangat memberi kesan kepada jiwa Hang Tuah tentang betapa alam barzakh itu penuh dengan kenikmatan bagi mereka yang takutkan Allah dan begitulah sebaliknya bahawa betapa sakitnya penyeksaan bagi mereka yang membelakangkan Allah.

Berdasarkan Perlembagaan Malaysia fasal 160, seseorang itu didefinisikan sebagai Melayu apabila mengamalkan adat istiadat orang Melayu. Dalam hal ini, Sejarah Melayu mempunyai penjelasan yang lebih terperinci berdasarkan penceritaan yang terkandung di dalamnya. Kesultanan Melayu Melaka merupakan titik tolak permulaan suatu tradisi  yang menjadi dasar budaya Melayu. Lantaran itu, Sejarah Melayu yang banyak memuatkan kisah istana Melaka boleh disifatkan sebagai teras kebudayaan Melayu. Hal ini demikian kerana di dalam kitab tersebut ada diceritakan tentang perkembangan budaya Melayu dari segala sudut. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa tidak ada karya kesusasteraan Melayu melainkan sejarah Melayu yang dapat memberi suatu gambaran konkrit tentang kebudayaan Melayu, (Mana Sikana, 2007). Kebudayaan Melayu sebenarnya berasal atau pun dibentuk daripada pelbagai peradaban. Mohd. Taib Osman (1974) dalam Mana Sikana (2007), menyatakan bahawa perkara tersebut mencerminkan liku-liku sejarah yang dilalui. Beliau menjelaskan bahawa budaya asing, khususnya peradaban Hindu tidak diterima dalam kebudayaan Melayu sebulat-bulatnya. Sebaliknya, hanya unsur terpilih pada budaya tersebut dikaitkan dengan kebudayaan yang berteraskan agama Islam sebelum diterima sebagai kebudayaan Melayu. Sejarah Melayu berjaya menggambarkan budaya hidup orang Melayu pada zaman tersebut. Walaupun unsur sejarah dan mitos bergabung, tetapi itulah sebenarnya budaya Melayu yang senantiasa mencampurkan antara realiti dan fantasi.  Berdasarkan mukadimah yang terkandung dalam Sulatus Salatin dalam naskhah Raffles Malay 35(1-4), ada disebutkan bahawa adat istiadat yang diamalkan dalam masyarakat tersebut ialah adat istiadat Melayu. Antara yang terkandung dalam Mukadimah tersebut ialah:

“…Hamba dengar ada hikayat Melayu yang dibawak oleh Orang Kaya Sugoh dari Guha, barang kita perbaiki kiranya dengan istiadatnya sekali supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita dan diingatkan oleh segala mereka itu syahadan adalah beroleh faedah daripadanya”.

Berdasarkan petikan Mukadimah tersebut, jelaslah bahawa adat istiadat yang dimaksudkan itu merupakan adat istiadat Melayu berpandu kepada perkataan Melayu yang digunakan dalam ayat tersebut, iaitu “…Hamba dengar ada hikayat Melayu yang dibawak oleh Orang Kaya Sugoh dari Guha,”. Oleh yang demikian, definisi Melayu yang diberikan oleh Perlembagaan Malaysia bahawa Melayu itu merupakan seseorang yang pandai berbahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat orang Melayu.

No comments:

Post a Comment