Monday, May 27, 2013

IDEALISME BERSUMBERKAN ALAM MENERUSI KARYA AGUNG PANTUN MELAYU : BINGKISAN PERMATA DAN SULALATUS SALATIN

IDEALISME BERSUMBERKAN ALAM.
Idealisme menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 558-559) ialah sifat iaitu sikap atau perbuatan melihat atau mencita-citakan sesuatu dalam bentuk yang ideal. Selain itu juga, idealisme ialah tentang pemikiran seseorang tokoh dalam melahirkan karyanya.

 Hubungan alam dengan pantun.
Dalam karya agung Pantun Melayu: Bingkisan Permata yang dikaji dan diperkenalkan oleh Harun Mat Piah ini banyak mengandungi pantun yang mengandungi unsur-unsur alam. Menurut Hassan Ahmad iaitu ketua editor bagi karya agung Pantun Melayu: Bingkisan Permata ini, beliau beranggapan pantun merupakan wadah yang digunakan oleh orang Melayu untuk mengungkapkan fikiran dan rasa hatinya tentang makna kehidupan, tentang kelakuan manusia dan hubungannya dengan alam sekitar. Hasil daripada perenungan tersebut, maka lahirlah mutiara hati, rasa jiwa dan akal, tercurah dalam bentuk puisi yang sangat kreatif dan halus sekali seninya iaitu pantun. Malahan, pantun juga bukan sahaja sarat dengan makna tetapi juga padat dengan nilai keindahannya. Di bawah ini terdapat beberapa contoh pantun yang di ambil daripada karya agung Pantun Melayu: Bingkisan Permata yang mengandungi unsur-unsur alam. Antaranya ialah:

Baik-baik belayar malam
Arus deras karangnya tajam
Cari-cari malim yang faham
Di situ banyak kapal tenggelam.
                        

Pantun di atas merupakan salah satu pantun yang mempunyai unsur alam.  Unsur alam yang di maksudkan ialah malam dan arus deras. Penggunaan unsur alam ini terlahir daripada pengkaryanya sendiri kerana, seperti yang telah kita ketahui alam amat dekat dengan jiwa manusia. Malahan, jika dilihat pada masa dahulu, alam amat penting kepada kehidupan manusia kerana ianya mempunyai pelbagai khazanah yang tidak ternilai harganya. Selain itu, pada dasarnya sesebuah pantun dengan sendirinya akan menyerlahkan persekitaran masyarakat yang melahirkannya iaitu ia menyatakan latar alam dan latar budaya masyarakat.

Singapura di langgar todak
Peristiwa Singapura di langgar todak merupakan salah satu peristiwa yang berlaku di Singapura yang turut diceritakan dalam karya agung Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu yang telah di tulis oleh Tun Seri Lanang dalam bab 4 pada halaman 67 dalam buku tersebut. Peristiwa ini berlaku semasa Tuan Jana Khatib yang juga merupakan seorang yang mahir dalam ilmu agama telah datang ke Singapura. Di Singapura, Tuan Jana Khatib berjalan di pekan Singapura sehinggalah ke pintu peranginan raja. Di situ, Tuan Jana Khatib telah menilik pohon pinang sehingga pohon itu telah terbelah dua dan kejadian itu berlaku di hadapan permaisuri raja. Raja telah menitahkan hukuman bunuh ke atas Tuan Jana Khatib kerana beliau di anggap sengaja ingin menunjuk-nunjuk kebolehannya di hadapan permaisuri. Beberapa lama kemudian selepas peristiwa tersebut, Singapura telah menerima bencana besar iaitu bencana serangan todak. Ramai rakyat jelata telah terkorban. Nyawa rakyat terus melayang apabila Paduka Seri Maharaja telah memerintahkan rakyatnya berkotakan betis. Kemudian datang seorang budak yang pintar mencadangkan agar mereka berkotakan batang pisang. Akhirnya berkat cadangan bernas budak pintar tersebut, serangan todak telah berakhir. Tetapi, budak tersebut telah dijatuhi hukuman bunuh akibat hasutan para pembesar terhadap raja yang tidak berfikir panjang tentang kebijaksanaan budak tersebut yang di khuatiri akan menggugat raja apabila dia besar kelak. Antara petikan cerita yang mengisahkan serangan todak ialah:
“Syahadan pada antara itu, datanglah seorang budak berkata, “apa kerja kita berkotakan betis ini? Mendayakan diri kita. Jika berkotakan batang pisang alangkah baiknya?” setelah didengar Paduka Seri Maharaja kata budak itu, maka titah baginda, “Benar seperti kata budak itu,” maka dikerahkan baginda rakyat mengambil batang pisang diperbuat kota. Maka dikerjakan oranglah berkotakan batang pisang. Maka segala todak yang melompat itu lekatlah jongornya, tercacak kepada batang pisang itu; dibunuh oranglah bertimbun-timbun di pantai itu, hingga tiadalah termakan lagi oleh segala rakyat. Maka todak itu pun tiadalah melompat lagi”. 
 (Sulalatus Salatin, halaman 67)

Dalam peristiwa Singapura di langgar todak, ada di selitkan tentang penggunaan batang pisang untuk mempertahankan Singapura. Kepintaran budak tersebut untuk mempertahankan Singapura daripada di langgar todak amat bijak sekali kerana batang pisang yang lembut akan memudahkan muncung todak terlekat di batang tersebut. Malahan, idea tersebut muncul daripada budak tersebut mungkin di sebabkan oleh keadaan sekelilingnya yang amat banyak dengan pokok pisang atau tumbuhan yang lain. Hal ini demikian kerana, keadaan persekitarannya pada masa dahulu amat banyak dipenuhi dengan pokok-pokok atau unsur alam yang lagi yang masih terjaga. Sumber alam tersebut juga merupakan punca utama untuk penduduk mendapatkan sumber makanan. Malahan, sungai dan laut amat penting kepada mereka untuk mencari rezeki menyara kehidupan mereka sekeluarga di samping sebagai bahan dagangan. 

No comments:

Post a Comment