Monday, May 27, 2013

FALSAFAH BERSUMBERKAN MELAYU MENERUSI KARYA AGUNG SEJARAH MELAYU

Menurut Zaini Abdullah (2001), falsafah adalah mengenai pertimbangan asas dan andaian mengenai pertimbangan tersebut. Falsafah mempersoalkan prinsip-prinsip realiti ilmu dan nilai. Falsafah juga merupakan pendekatan rasional terhadap sesuatu masalah dan persoalan, di samping merupakan suatu penyiasatan komprehensif dan logik mengenai asas-asas pemikiran semua manusia. Dalam karya agung Sulalatus Salatin akan dibincangkan tentang adat istiadat dan pantang larang di istana yang terdapat dalam karya tersebut.
            Falsafah bersumberkan melayu lebih kepada nilai melayu yang terdapat dalam sesebuah karya agung tersebut. Dalam karya Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu, banyak terakam sejarah dan asal usul adat istiadat Kesultanan Melayu masa silam. Menurut buku Sejarah Melayu juga yang telah di selenggarakan oleh A.Samad Ahmad, beliau berpendapat asal usul adat istiadat Melayu bermula dengan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Demang Lebar Daun.

 Jenis-jenis adat di istana.
 Adat mengadap raja di balairung.
Adat mengadap raja di balairung ialah, para pembesar akan disusun mengikut pangkat kebesaran masing-masing. Pangkat tersebut di mulai dengan bendahara, penghulu bendahari dan temenggung. Mereka akan duduk di seri balai. Kemudian, anak-anak raja pula akan duduk di bahagian serambi balai sebelah kiri dan kanan. Selepas itu, akan di ikuti dengan sida-sida yang muda-muda akan duduk berselang seli dengan bentara dan hulubalang yang berdiri di ketapakan balai.
“ Adapun apabila raja dihadap orang di balairung, maka bendahara, dan penghulu bendahari dan temenggung dan segala menteri dan orang besar-besar, segala sida-sida duduk di seri balai”.
                                                                        (Sejarah Melayu, 1978, hal.57)
Adat ini merupakan perkara yang wajib dilakukan ketika mengadap Sultan. Malahan, sehingga sekarang juga adat ini masih diteruskan walaupun tidak semuanya sama dengan yang dahulu. Hal ini demikian kerana, Sultan di anggap orang yang paling mulia, oleh itu sesiapa yang ingin mengadap Sultan haruslah mengetahui tentang adat-adat yang telah ditetapkan.

 Adat menjunjung duli.
Adat menjunjung duli memerlukan empat atau lima orang kepala bentara yang terdiri daripada sida-sida yang akan duduk di seri balai. Malahan, segala perkakas diraja seperti ketur, kendi, kipas dan barang sebangainya akan di susun secara diselang selang kedudukannya. Sementara itu, puan dan pedang akan berada dikelekan kiri dan kanan. Manakala, pedang kerajaan akan dipikul oleh laksama atau Seri Bija Diraja.
“ Adapun segala perkakas raja, seperti ketur dan kendi, kipas dan barang sebagainya diselang selang duduknya; melainkan puan dan pedang di kelek-kelekan kiri dan kanan: pedang kerajaan itu laksamana atau Seri Bija Diraja memikul pedang itu”.
                                                                                                (Sejarah Melayu, 1978, hal 54)

Adat menyambut kedatangan utusan kerajaan dari luar.
Untuk menyambut kedatangan utusan terdapat adat yang perlu di ikuti. Sambutan terhadap kedatangan utusan adalah berbeza mengikut tahap kebesaran kerajaan tersebut. Apabila utusan dari kerajaan yang besar seperti Pasai dan Haru, sambutannya akan menggunakan selengkap alat kerajaan seperti gendang, serunai dan lain-lain. Jika, sekiranya utusan datang dari negeri yang kurang kebesarannya, alat kelengkapan keraian untuk menyambutnya akan dikurangkan, cukup sekadar gendang dan serunai sahaja atau berpayung kuning atau bergajah. Walau bagaimanapun, sepersalinan tetap akan diberikan.
“ Jika surat dari Pasi atau dari Haru, dijemput dengan selengkapnya alat kerajaan, gendang, serunai, nafiri Negara, paying putih dan perapit; melainkan medali juga yang tiada pergi menjemput itu. …Telah datang ke balai, maka surat disambut oleh hulubalang asal,yakni kepada  bentara yang kiri menyampaikan titah raja kepada utusan, kepada bentara yang di kanan menyampaikan sembah”.
                                                                                                (Sejarah Melayu, 1978, hal. 57)
Dalam adat ini, pihak yang lebih berkuasa akan dihormati. Dengan itu, untuk menyambut utusannya akan di buat secara besar-besaran. Malahan, pihak tersebut juga berkemungkinan mempunyai kekuasaan yang amat kuat dan terpengaruh di rantau tersebut. Dengan itu, jika tidak menyambutnya dengan cara yang terhormat, berkemungkinan akan memberi kesan kepada sesebuah kerajaan kelak

 Adat menyambut malam tujuh likur atau malam dua puluh tujuh.
Adat ini kebiasaannya akan di lakukan pada waktu siang. Pada waktu siangnya sejadah akan di arak ke masjid. Temenggung akan gajah, puan serta segala alat kerajaan dan gendang akan di bawa terlebih dahulu ke masjid. Kemudian, keesokkannya, Laksamana akan mengarakkan serban. Selepas itu, Raja-raja Melayu akan berangkat ke masjid dengan bertengkolok dan berbaju sarung.
“Hatta, jikalau pada bulan Ramadan malam dua puluh tujuh, tatkala pada siangnya mengarak sejadah ke masjid, Temenggong mengepalai gajah. …Telah esok harinya, maka Laksamana mengarak serban kerana adat Raja Melayu berangkat ke masjid bertengkolok berbaju sarung”.
                                                                                                (Sejarah Melayu, 1978,hal.60)
         
Pantang larang dalam adat istiadat di istana.

Larangan memakai barangan berwarna kuning.
Orang-orang kebanyakkan di larang memakai sapu tangan, tepi tabir dan bantal besar yang berwarna kuning. Kain baju, destar yang berwarna kuning boleh dipakai sekiranya di anugerahkan oleh raja.
            Hal ini demikian kerana, warna kuning dan putih merupakan warna di raja. Oleh itu, orang kebanyakkan di larang memakai kecuali ketika mendapat undangan yang berkaitan dengan istana. Namun, pada masa sekarang telah ramai orang kebanyakkan yang memakai baju berwarna kuning atau putih biarpun tidak mendapat undangan untuk ke istana. Walau bagaimanapun, mereka tetap menghormati warna kuning dan putih kerana warna tersebut merupakan warna rasmi untuk istana.
“Syahadan bagindalah yang pertama-tama meletakkan “kekuningan larangan”; tidak dapat dipakai orang keluaran, dan diambil akan saru tangan; dan tiada dapat dibuat tepi tabir danulasan bantal besar dan tilam”...

Larangan bertengkolok dan berbaju sarung.
Pada zaman pemerintahan sultan dahulu, rakyat biasa tidak dibenarkan memakai baju sarung dan bertengkolok pada hari perkahwinan kecuali apabila dikurniakan oleh raja. Sekiranya adat ini tidak dipatuhi, rakyat tersebut akan dikenakan hukuman denda.
            Pemakaian baju sarung dan bertengkolok tidak dibenarkan kerana pakaian tersebut merupakan pakaian sultan ataupun pembesar-pembesar di istana. Oleh itu, jika rakyat memakai pakaian tersebut berkemungkinan ia di anggap menghina pakaian kaum kerabat istana dan mungkin di anggap setaraf dengan rakyat biasa.

 Larangan berkelakuan biadap terhadap raja dan pembesar.
Rakyat mesti menghormati raja dan pembesar. Hal ini demikian kerana, raja dan pembesar merupakan orang yang penting dalam mentadbir sesebuah Negara. Keamanan dan kemakmuran sesebuah Negara merupakan hasil daripada kerja keras dan pentadbiran yang sistematik daripada raja dan pembesar.
            Dengan itu, sesiapa yang ingkar akan larangan adat tersebut akan di jatuhkan hukuman bunuh. Hal ini dapat di lihat dalam Sejarah Melayu tentang Perpatih Hitam yang cuba dibunuh oleh Laksaman kerana menguis tikar di hadapan bendahara.


IDEALISME BERSUMBERKAN ALAM MENERUSI KARYA AGUNG PANTUN MELAYU : BINGKISAN PERMATA DAN SULALATUS SALATIN

IDEALISME BERSUMBERKAN ALAM.
Idealisme menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 558-559) ialah sifat iaitu sikap atau perbuatan melihat atau mencita-citakan sesuatu dalam bentuk yang ideal. Selain itu juga, idealisme ialah tentang pemikiran seseorang tokoh dalam melahirkan karyanya.

 Hubungan alam dengan pantun.
Dalam karya agung Pantun Melayu: Bingkisan Permata yang dikaji dan diperkenalkan oleh Harun Mat Piah ini banyak mengandungi pantun yang mengandungi unsur-unsur alam. Menurut Hassan Ahmad iaitu ketua editor bagi karya agung Pantun Melayu: Bingkisan Permata ini, beliau beranggapan pantun merupakan wadah yang digunakan oleh orang Melayu untuk mengungkapkan fikiran dan rasa hatinya tentang makna kehidupan, tentang kelakuan manusia dan hubungannya dengan alam sekitar. Hasil daripada perenungan tersebut, maka lahirlah mutiara hati, rasa jiwa dan akal, tercurah dalam bentuk puisi yang sangat kreatif dan halus sekali seninya iaitu pantun. Malahan, pantun juga bukan sahaja sarat dengan makna tetapi juga padat dengan nilai keindahannya. Di bawah ini terdapat beberapa contoh pantun yang di ambil daripada karya agung Pantun Melayu: Bingkisan Permata yang mengandungi unsur-unsur alam. Antaranya ialah:

Baik-baik belayar malam
Arus deras karangnya tajam
Cari-cari malim yang faham
Di situ banyak kapal tenggelam.
                        

Pantun di atas merupakan salah satu pantun yang mempunyai unsur alam.  Unsur alam yang di maksudkan ialah malam dan arus deras. Penggunaan unsur alam ini terlahir daripada pengkaryanya sendiri kerana, seperti yang telah kita ketahui alam amat dekat dengan jiwa manusia. Malahan, jika dilihat pada masa dahulu, alam amat penting kepada kehidupan manusia kerana ianya mempunyai pelbagai khazanah yang tidak ternilai harganya. Selain itu, pada dasarnya sesebuah pantun dengan sendirinya akan menyerlahkan persekitaran masyarakat yang melahirkannya iaitu ia menyatakan latar alam dan latar budaya masyarakat.

Singapura di langgar todak
Peristiwa Singapura di langgar todak merupakan salah satu peristiwa yang berlaku di Singapura yang turut diceritakan dalam karya agung Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu yang telah di tulis oleh Tun Seri Lanang dalam bab 4 pada halaman 67 dalam buku tersebut. Peristiwa ini berlaku semasa Tuan Jana Khatib yang juga merupakan seorang yang mahir dalam ilmu agama telah datang ke Singapura. Di Singapura, Tuan Jana Khatib berjalan di pekan Singapura sehinggalah ke pintu peranginan raja. Di situ, Tuan Jana Khatib telah menilik pohon pinang sehingga pohon itu telah terbelah dua dan kejadian itu berlaku di hadapan permaisuri raja. Raja telah menitahkan hukuman bunuh ke atas Tuan Jana Khatib kerana beliau di anggap sengaja ingin menunjuk-nunjuk kebolehannya di hadapan permaisuri. Beberapa lama kemudian selepas peristiwa tersebut, Singapura telah menerima bencana besar iaitu bencana serangan todak. Ramai rakyat jelata telah terkorban. Nyawa rakyat terus melayang apabila Paduka Seri Maharaja telah memerintahkan rakyatnya berkotakan betis. Kemudian datang seorang budak yang pintar mencadangkan agar mereka berkotakan batang pisang. Akhirnya berkat cadangan bernas budak pintar tersebut, serangan todak telah berakhir. Tetapi, budak tersebut telah dijatuhi hukuman bunuh akibat hasutan para pembesar terhadap raja yang tidak berfikir panjang tentang kebijaksanaan budak tersebut yang di khuatiri akan menggugat raja apabila dia besar kelak. Antara petikan cerita yang mengisahkan serangan todak ialah:
“Syahadan pada antara itu, datanglah seorang budak berkata, “apa kerja kita berkotakan betis ini? Mendayakan diri kita. Jika berkotakan batang pisang alangkah baiknya?” setelah didengar Paduka Seri Maharaja kata budak itu, maka titah baginda, “Benar seperti kata budak itu,” maka dikerahkan baginda rakyat mengambil batang pisang diperbuat kota. Maka dikerjakan oranglah berkotakan batang pisang. Maka segala todak yang melompat itu lekatlah jongornya, tercacak kepada batang pisang itu; dibunuh oranglah bertimbun-timbun di pantai itu, hingga tiadalah termakan lagi oleh segala rakyat. Maka todak itu pun tiadalah melompat lagi”. 
 (Sulalatus Salatin, halaman 67)

Dalam peristiwa Singapura di langgar todak, ada di selitkan tentang penggunaan batang pisang untuk mempertahankan Singapura. Kepintaran budak tersebut untuk mempertahankan Singapura daripada di langgar todak amat bijak sekali kerana batang pisang yang lembut akan memudahkan muncung todak terlekat di batang tersebut. Malahan, idea tersebut muncul daripada budak tersebut mungkin di sebabkan oleh keadaan sekelilingnya yang amat banyak dengan pokok pisang atau tumbuhan yang lain. Hal ini demikian kerana, keadaan persekitarannya pada masa dahulu amat banyak dipenuhi dengan pokok-pokok atau unsur alam yang lagi yang masih terjaga. Sumber alam tersebut juga merupakan punca utama untuk penduduk mendapatkan sumber makanan. Malahan, sungai dan laut amat penting kepada mereka untuk mencari rezeki menyara kehidupan mereka sekeluarga di samping sebagai bahan dagangan. 

VIDEO

http://www.youtube.com/watch?v=sgRj7KRS2MM

http://www.youtube.com/watch?v=eMjjzY0qo40

http://www.youtube.com/watch?v=8l8JM7J2djE

http://www.youtube.com/watch?v=ORiUAvelvx8

ANALISIS HIKAYAT HANG TUAH

Tema Hikayat Hang Tuah
Tema merupakan suatu teknik yang amat penting dalam sesebuah karya kerana temalah yang menjadi pokok cerita kepada sesebuah karya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2008) pula, tema ialah sebjek yang menjadi dasar sesuatu pembicaraan, wacana, karangan, cerita dan sebagainya. Tema juga merupakan tajuk atau pokok utama sesebuah cerita. Dalam Hikayat Hang Tuah, tema yang cuba ditonjolkan oleh pengarangnya ialah tema berkenaan dengan ketaatan atau kesetiaan Hang Tuah kepada rajanya.
Ketaatan Hang Tuah dapat dilihat dengan banyaknya dalam Hikayat Hang Tuah. Hang Tuah merupakan seorang hamba yang perlu mempunyai raja untuk mengabdikan kesetiaan dan ketaatannya. Oleh itu, kata taat yang menjadi tema dalam hikayat ini telah menjadi landasan bagi Hang Tuah dalam melakukan segala tindakan terhadap rajanya. Dalam erti kata yang lain, teks Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah teks yang menceritakan ketaatan seorang hamba kepada rajanya. Sifat taat yang terdapat dalam diri Hang Tuah ini menjadikan beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk rajanya.
Sebagai contoh, Hang Tuah sanggup terjun ke telaga tahi untuk menyelamatkan kuda anak raja. Dia juga sanggup masuk ke dalam kubur supaya dapat menceritakan kepada raja bagaimana pengalaman seseorang yang dikebumikan. Hang Tuah juga sanggup membunuh Hang Jebat iaitu sahabatnya sendiri sedangkan Hang Jebat melawan raja adalah untuk menuntut bela atas tindakan raja yang menjatuhkan hukuman bunuh kepada Hang Tuah. Selain itu, Hang Tuah turut sanggup bertarung nyawanya dan melakukan sesuatu yang tidak rasional dengan melarikan Tun Teja ke negeri Melaka hanya untuk menunjukkan kesetiaannya terhadap raja Melaka

 Persoalan
Selain tema, persoalan juga memainkan peranan penting untuk melihat kekuatan bagi sesuatu kepengarangan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2008), persoalan ialah sesuatu yang dipersoalkan atau sesuatu yang menjadi masalah. Persoalan juga merupakan pembicaraan, perbahasan atau perbincangan yang diketengahkan dalam sesebuah karya. Terdapat banyak persoalan yang cuba diketengahkan oleh pengarang dalam Hikayat Hang Tuah. Berdasarkan persoalan-peroalan inilah yang akan menjadi kekuatan untuk mengangkat sesuatu karya itu menjadi karya yang agung.
Sesebuah karya sastera akan dibina berdasarkan persoalan-persoalan yang dipetik daripada episod kehidupan dan kegiatan manusia yang melatarinya. Pengarang akan menjalinkan persoalan-persoalan ini sehingga menjadi satu rangkaian peristiwa yang berkesimnambungan antara satu sama lain dan akhirnya dapat membentuk sebuah karya yang mantap. Kesusasteraan Melayu Tradisional seperti Hikayat Hang Tuah ini tidak terlepas daripada memaparkan persoalan-persoalan yang dipetik daripada konteks kehidupan dan budaya masyarakat Melayu tradisional. Persoalan-persoalan inilah yang akan menjadi kekuatan bagi sesebuah karya.
Antara persoalan yang ditimbulkan oleh pengarang dalam Hikayat Hang Tuah ialah persoalan tentang keberanian atau kepahlawanan Hang Tuah. Kepahlawanan Hang Tuah dapat dilihat berdasarkan sikap dan akhlaknya. Hang Tuah juga mempunyai sifat-sifat keperwiraan Melayu silam seperti memiliki ilmu batin iaitu ilmu mempertahankan diri bagi menewaskan musuh. Kepahlawanan Hang Tuah juga dapat dilihat ketika beliau masih kecil lagi. Hal ini kerana beliau telah mengalahkan lanun-lanun bersama dengan sahabat-sahabatnya iaitu Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi dan Hang Lekiu. Semasa beliau masih kecil juga, beliau bersama kawan-kawannya pernah membunuh empat orang yang sedang mengamuk di hadapan Bendahara Paduka Raja. Disebabkan peristiwa inilah mereka berlima dilantik sebagai Biduanda Raja. Bendahara Paduka Raja amat tertarik dengan keberanian mereka berlima sedangkan segala pegawai dan pertuanan yang mengiringi Bendahara lari melihat orang mengamuk. Keberanian Hang Tuah dan sahabatnya jelas dinyatakan seperti yang terdapat di dalam teks berikut:
“Maka Hang Tuah dan Hang Jebat pun melompat ke kiri ke kanan menyalahkan tikaman orang itu. setelah lalu, ditikamnya orang itu, maka melompat Hang Tuah dan Hang Jebat, ditikamnya seorang: itu pun rebah lalu mati”.
( HHT,1997:37 )

Selain itu, persoalan tentang kebijaksanaan juga menjadi persoalan penting yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah ini. Hang Tuah digambarkan oleh pengarang sebagai seorang yang bijaksana dalam melakukan sesuatu tindakan. Sifat kebijaksanaan yang ada pada diri beliau ini juga menyebabkan raja Melaka semakin menyayanginya. Hang Tuah sememangnya seorang pahlawan yang bijaksana, setiap tindakan yang dilakukan oleh beliau mempunyai tujuan yang tersendiri. Hang Tuah bukan sahaja bijak dalam tindakannya malah beliau juga bijak dalam melakukan helah. Pelbagai helah telah digunakan semasa pertarungan. Hang Tuah juga dikatakan bijak kerana beliau berjaya menguasai 12 bahasa yang dipelajarinya sejak kecil lagi. Antaranya adalah Bahasa Arab, Bahasa Keling, Bahasa Siam, Bahasa Cina dan Bahasa Jawa.
           … Telah berapa lamanya Hang Tuah mengaji Qur’an, maka pengajian itu pun tamatlah. Maka Hang Tuah mengaji nahu pula. Telah sudah tamat pengajiannya, maka dia berkata kepada bapanya, “Ayo bapaku, pada bicara hamba, hendak mengaji pada lebai Keling pula, supaya hamba tahu pula bahasanya.” Maka kata Hang Mahmud, “Benarlah seperti bicara anakku itu.” Maka Hang Tuah pun mengajilah pula pada seorang lebai Keling. Hatta, beberapa lamanya, maka tamatlah dengan bahasa Keling itu, habislah diketahuinya. Maka Hnag Tuah pun berkata pada bapanya hendah mengaji pada lebai Siam pula supaya diketahuilah akan bahasanya. Setelah sudah diketahuinya akan bahasa Siam itu, maka Hang Tuah pun mengaji pula pada seorang lebai Cina. Dengan tiada berapa lamanya maka ia pun tamatlah mengaji bahasa Cina itu. Maka Hang Tuah pun mengaji pula pada lebai Jawa hendak diketahuinya akan bahasa Jawa itu. Kalakian, setelah habislah rata diketahuinya dua belas bahasa itu, maka Hang Tuah pun pulanglah ke rumahnya…
                                                                                                            ( HHT, 1997: 24 )    
Seterusnya, persoalan  tentang ketangkasan. Kejayaan Hang Tuah sebagai pehlawan Melayu dilihat berdasarkan ketangkasan beliau bermain senjata. Terdapat banyak peristiwa yang menunjukkan Hang Tuah sebagai seorang yang tangkas. Anataranya peristiwa ketika beliau yang hanya seorang diri berjaya menumpaskan tujuh puluh orang penjurit yang mengamuk di pasar. Hang Tuah mempunyai taktik tertentu untuk menumpaskan penjurit yang ramai itu. Pada mulanya beliau berundur untuk mencari tempat bertahan. Beliau telah menemui satu lorong yang hanya muat untuk seorang manusia sahaja dan pagar lorong itu diperbuat daripada batu. Hang Tuah masuk ke dalam lorong itu untuk bertahan. Tujuh puluh orang penjurit itu juga masuk ke dalam lorong itu secara beiringan. Dengan ketangkasan yang dimiliki, Hang Tuah berjaya memancung kepala penjurit-penjurit tersebut. Selain itu, ketangkasan Hang Tuah juga dapat digambarkan petikan teks tersebut:
Setelah sudah Laksamana ke sungai, maka penjurit empat puluh itu pun datang ke kiri kanan Laksamana, seraya berkata, “Bunuhlah Melayu ini beri mati-mati.  Jangan lagi beri lepas.” Maka penjurit itu pun berbahagi empat, sepuluh hadapan, sepuluh dari kanan, sepuluh dari kiri, sepuluh dari belakang, lalu ditikamnya pada Laksamana pada tombaknya. Maka ditangkis oleh Laksamana   dengan sarung keris itu seraya dihunusnya keris panjangnya seraya tertinggung ke sungai. Maka ditangkiskan oleh Laksamana tikam penjurit itu empat puluh, suatu pun tiada mengena Laksamana.
                                                                                                ( HHT, 1997: 281 )
 Pengajaran
Kekuatan kepengarangan Hikayat Hang Tuah juga dapat dilihat melalui pengajaran yang terdapat dalam hikayat ini. Pengajaran ini boleh dijadikan pedoman kepada masyarakat untuk melakukan sesuatu yang baik. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2008), pengajaran ialah perihal mengajar atau segala sesuatu yang berkaitan dengan mengajar. Pengajaran juga membawa makna peringatan atau pedoman. Dalam Hikayat Hang Tuah terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil untuk dijadikan pedoman. Antaranya seperti petikan teks ini:
Maka setelah lagi orang mengamuk enam puluh itu mengamuk segala orang Majapatit, mana yang terlintang itu dibunuhnya. Setelah dilihat oleh Patih Kerma Wijaya dan Hang Tuah, orang mengamuk itu datang pula- segala orang yang memalu bunyi-bunyian Betara Majapahit itu pun habis lari cerai-berai, segala bunyi-bunyian yang dipalu itu pun habis ditinggalkannya – maka Hang Tuah pun geram rasanya. Maka ia pun memekik, katanya, “ ceh, barang siapa undur setapak juga, kupenggal lehernya dengan tempa Melaka ini. Bukan orangnya yang hendak digertak-gertak itu.”
                                                                                                            ( HHT, 1997: 205 )
Petikan ini mengajar kita supaya sentiasa berhati-hati dalam segala tindakan terutamanya dalam hubungan sesama manusia. Kadang-kala terdapat manusia yang sengaja merancang sesuatu tindakan untuk menguji keutuhan sesebuah negara. Pihak perancang ingin melihat tindakan yang diambil oleh sesetengah pihak apabila mereka melaksanakan sesuatu perancangan. Hal ini dapat dilihat berdasarkan peristiwa Majapahit diserang oleh orang mengamuk untuk melihat sejauh mana keutuhan dan keharmonian golongan masyarakat Majapahit.
Selain itu, kita juga hendaklah bersama-sama menunjukkan sikap kekitaan, kebersamaan, dan keberanian untuk menghadapi ancaman daripada orang lain. Kita juga perlu mengelakkan diri daripada lari apabila berhadapan dengan sesuatu masalah kerana pengunduran seseorang akan memberi kesan kepada individu lain yang akan turut menjejaki tindakan tersebut. Hal ini akan mendatangkan kesan seperti kekalahan dalam pertempuran dan akan memusnahkan tanah air dan bangsa sendiri. Oleh itu, sikap Hang Tuah yang merah apabila orang-orang Majapahit melarikan diri daripada orang mengamuk menunjukkan bahawa Hang Tuah tidak mahu orang-orang Majapahit menunjukkan sikap yang negetif kepada pihak musuh.
Tuntasnya, berdasarkan tema dan persoalan yang ditonjolkan oleh pengarang boleh menjadikan karya Hikayat Hang Tuah ini menjadi karya yang agung kerana hikayat ini mempunyai kekuatan kepengarangan yang tersendiri berbanding karya-karya sastera tradisional yang lain. Hikayat ini merupakan hikayat yang mengangkat bangsa Melayu sebagai bangsa yang kuat dan berani berdasarkan watak utamanya iaitu Hang Tuah. Tema dan persoalan yang dibincangkan juga banyak menekankan tentang kehebatan wataknya yang menjadi cerminan bagi masyarakat Melayu. Selain itu, pengajaran yang terdapat dalam hikayat ini juga turut menjadikan Hikayat Hang Tuah ini menjadi sebuah hikayat yang agung. Pengajaran ini juga menjadi pedoman kedapa masyarakat dan menjadi antara kekuatan yang terdapat dalam karya.

KOLEKSI ARTIKEL BERHUBUNG KARYA AGUNG

Pautan Artikel :

1. Hikayat Hang Tuah

http://resam-melayu.com/2010/03/hang-tuah-antara-sejarah-mitos-atau-hikayat.html
http://www.silatmelayu.org/forum/topics/benarkah-hang-tuah-berbangsa

2. Sulalatus-Salatin

http://www.sinarharian.com.my/rencana/ungkapan-sulalatus-salatin-atas-kanvas-pak-mail-1.60241



Sunday, May 26, 2013

Pemikiran Melayu dalam Karya Agung Pantun Melayu: Bingkisan Permata


Melalui sejumlah pantun yang dikaji dalam Pantun Melayu: Bingkisan Permata, didapati bahawa terdapat unsur pemikiran yang melatari setiap pantun yang telah diungkapkan oleh masyarakat Melayu. Hal ini menepati dan selaras dengan pendapat Sapir Whorf (1921) yang menjelaskan bahawa bahasa menentukan pemikiran penuturnya. Dengan kata lain bahasa melambangkan cara penutur itu meluahkan buah fikiran. Hal ini bermaksud bahawa melalui perkataan-perkataan yang dituturkan dapat melambangkan cara pemikiran penutur yang luas. Hal ini membuktikan bahawa bahasa dalam pantun Melayu ternyata mempunyai kaitan yang amat rapat dengan pemikiran orang Melayu meliputi sejarah kebudayaan, alam sekeliling dan geobudaya.

Pemikiran tentang kewujudan
Dalam pantun Melayu, aspek pemikiran Melayu tentang kewujudan melambangkan pemikiran tentang hubungan manusia dengan agama dan pencipta-Nya. Persoalan ini dapat dilihat dengan jelas dalam pantun yang menunjukkan isu-isu kehidupan yang berlandaskan ajaran agama Islam. Pemikiran tentang kewujudan ini meliputi aspek-aspek akidah dan termasuk juga prinsip-prinsip yang berlawanan dengan akidah Islam yang harus dihindari oleh masyarakat Melayu. Antara pantun yang mengungkapkan pemikiran tentang kewujudan ini dapat dihubungkan dengan tema keagamaan seperti yang berikut:
                                    Pantun 1:
                                                Menanam kelapa di Pulau Bukum
                                                            Tinggi sedepa sudah berbuah
                                                Adat bermula dengan hukum
                                                            Hukum bersandar di Kitab Allah.

            Pantun ini membawa maksud segala adat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu berasaskan kepada kitab Allah. Kitab yang dimaksudkan ialah Al-Quran. Setiap hukum yang dilaksanakan oleh masyarakat Melayu adalah berlandaskan kepada hukum-hukum Allah.
                                    Pantun 2:
                                                Anak gajah mandi di sumur
                                                            Ambil galah dalam perahu
                                                Orang muda jangan tekebur
                                                            Cubaan Allah siapa tahu.

            Dalam pantun di atas pula, ia menjadi peringatan kepada anak-anak Melayu terutamanya supaya tidak mudah lupa dan bangga dengan diri. Hal ini demikian kerana tiada sesiapa pun yang tahu apakah ujian yang akan diberikan Allah kepada mereka yang lupa diri dan sombong. Hal ini menjadi kepercayaan masyarakat Melayu dan mereka menasihati anak-anak mereka supaya tidak bersikap sombong.

                                    Pantun 3:
                                                Angin bertiup kembangkan layar
                                                            Haluan menuju ke Pekan
                                                Hendaklah hidup berikhtiar
                                                            Kemudian serahkan Tuhan.

            Manakala bagi pantun ketiga ini pula masyarakat Melayu mendidik anak-anak muda dan masyarakat supaya rajin berusaha dalam melakukan seseuatu kerja. Selepas berusaha, baru berserah dan bertawakkal kepada Allah. Hal ini demikian kerana masyarakat Melayu percaya setiap kerja yang dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh akan membuahkan hasil. Selain itu juga masyarakat Melayu percaya kepada qada dan qadar seiring dengan rukun iman yang keenam iaitu percaya kepada qada dan qadar.
                                    Pantun 4:
                                                Asam kandis asam gelugur
                                                            Ketiga asam si riang-riang
                                                Menangis mayat di pintu kubur
                                                            Teringat badan tidak sembahyang.

            Pantun di atas menerangkan tentang kepercayaan masyarakat Melayu terhadap balasan bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadah solat ketika masih hidup di dunia. Pantun ini dijadikan pengajaran kepada masyarakat Melayu beragama Islam supaya tidak meninggalkan solat. Hal ini demikian kerana menunaikan soalt merupakan rukun Islam yang kedua dan wajib dilakukan oleh mereka yang beragama Islam.
Pemikiran Melayu juga menyentuh mengenai konsep kewujudan sesuatu benda dan fenomena alam dalam pantun selain daripada falsafah mengenai kewujudan agama dan pencipta-Nya. Hal ini demkian keranapemikiran Melayu telah berasaskan alam sekeliling yang menjadi konteks dalam alam penghidupan masyarakat Melayu itu sendiri. Hasil daripada pengamatan masyarakat Melayu terhadap kejadian alam yang berlaku disekeliling seperti hujan, ribut dan kilat telah menghasilkan sesuatu konsep. Selain itu, dalam penciptaan pantun Melayu juga wujud faktor-faktor alam semesta termasuk alam benda, alam flora dan fauna seperti dalam pantun berikut:
                        Pantun 5:
                                    Anak kuda di dalam kandang
                                                Pandai menyepak tendang-menendang
                                    Kalau nasib sudah malang
                                                Rezeki secupak tidak mahu segantang.

Dalam pantun kelima, masyarakat Melayu menggunakan alam fauna sebagai pembayang. Faktor  alam fauna yang digunakan ialah anak kuda yang sudah pandai tending-menendang dan hidup di dalam kandang. Ini merupakan situasi anak kuda yang dilihat oleh masyarakat Melayu di sekiling mereka.
                        Pantun 6:
                                    Daun empelas dalam puan
                                                Puyuh mengeram dalam padi
                                    Sangatlah belas hatiku tuan
                                                Guruh menderam hujan tak jadi.

Bagi contoh pantun yang keenam pula ialah penggunaan faktor fenomena alam seperti guruh dan hujan. Dalam pantun di atas, masyarakat Melayu menggunakan fenomena alam yang terdiri daripada cuaca. Pada kebiasaannya bunyi dentuman guruh membawa maksud hujan akan turun. Fenomena ini merupakan fenomena yang berlaku disekeliling masyarakat Melayu.
                        Pantun 7:
                                    Tanam pisang tanam ubi
                                                Ubi ditanam buatkan batas
                                    Banyak orang bertanam budi
                                                Dalam ingatan hendak dibalas.

                        Pantun 8:
                                    Baik bertanam ubi keladi
                                                Jangan bertanam ubi sengkuang
                                    Baik-baik bertanam budi
                                                Jangan sampai budi terbuang.

Melalui pantun ketujuh dan kelapan, dapat dilihat penggunaan faktor alam flora. Pisang dan ubi merupakan antara tanaman masyarakat Mmelayu pada zaman dahulu. Mereka menanam ubi untuk dijadikan makanan harian terutamanya semasa zaman pemerintahan Jepun. Hal ini menjadikan masyarakat Melayu mempunyai hubungan yang rapat dengan alam flora dan menggunakan faktor alam dalam pembinaan pantun sama ada sebagai pembayang atau pun maksud.
            Berdasarkan pantun-pantun di atas, dapat disimpulkan bahawa bahasa tidak boleh dipisahkan dengan corak pemikiran dan budaya penutur. Hal ini merupakan satu panduan terhadap tindakan dan kepercayaan dalam menentukan hala tuju hidup disamping menjadi warisan sosial masyarakat Melayu.

Pemikiran tentang ilmu pengetahuan
Ilmu pengetahuan amat dititik beratkan oleh masyarakat Melayu beragama Islam. Hal ini demikian kerana melalui ilmu pengethauan mereka membentuk dan menyuburkan fikiran masyarakatnya. Menuntun ilmu adalah selaras dengan objektif Islam. Hal ini dilihat dari sudut membudayakan ‘iqra berdasarkan ayat pertama yang diturunkan di Gua Hira’ kepada Nabi Muhammad SAW. Hukum menuntut ilmu dalam Islam adalah fardhu ‘Ain, iaitu kewajipan ke atas semua induvidu yang bergelar Islam. Sehubungan dengan ini, lahirlah pantun-pantun yang menyeru masyarakat Melayu supaya menuntut ilmu pengetahuan. Antara pantun yang mengungkapkan kepentingan berilmu pengetahuan adalah seperti berikut:
Pantun 9:
            Burung kenek-kenek
                        Terbang dalam semak
            Pesan datuk nenek
                        Rajin-rajin pergi belajar.
            Dalam pantun kesembilan menunjukkan masyarakat Melayu sangat mementingkan pendidikan terutamanya kepada generasi yang lebih muda. Hal ini dapat dilihat dalam pantun di atas yang merupakan pesan datuk dan nenek kepada cucunya untuk belajar rajin-rajin.
                                    Pantun 10:
                                                Cempedak di luar pagar
                                                            Ambil galah tolong jolokkan
                                                Saya budak baru belajar
                                                            Kalau salah tolong tunjukkan.

            Manakala pantun kesepuluh ini pula menunjukkan budaya masyarakat Melayu yang mementingkan ilmu pengetahuan. Hal ini dibuktikan melalui pantun di atas apabila masyarakat Melayu yang menimba ilmu sentiasa ingin ditegur dan diberi tunjuk ajar sama ada ketika proses pembelajaran ataupun ketika mereka melakukan kesalahan.
                                    Pantun 11:
                                                Pokok kelapa di tanam berjajar
                                                            Nampak dari tepi pantai
                                                Barang siapa rajin belajar
                                                            Tentu dia menjadi pandai.

            Berdasarkan contoh pantun yang kesebelas ini, dapat dilihat bahawa masyarakat Melayu percaya bahawa masyarakatnya akan menjadi pandai dan bijaksana sekiranya mereka rajin belajar. Hal ini membuktikan kepandaian dan kebijaksanaan masyarakat bergantung terhadap kerajinan mereka menimba ilmu.
                                    Pantun 12:
                                                Anak ayam turun sepuluh
                                                            Mati seekor tinggal sembilan
                                                Kutuntut ilmu bersungguh-sungguh
                                                            Akan bekalan hari kemudian.

            Pantun ke-12 juga turut membuktikan bahawa masyarakat Melayu mementingkan pendidikan dan ilmu pengetahuan. Hal ini dapat dilihat dalam rangkap pantun di atas yang menggambarkan mereka menuntut ilmu bersungguh-sungguh untuk dijadikan bekalan pada masa hadapan. Masyarakat yang berilmu ialah masyarakat yang tidak mudah ditipu.
Melalui contoh-contoh pantun di atas, dapat dirumuskan bahawa pemikiran masyarakat Melayu yang melibatkan menuntut ilmu pengetahuan adalah selaras dengan ajaran agama Islam. Menuntut ilmu pengetahuan dalam Islam adalah termasuk dalam kategori ibadah. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa masyarakat memandang tinggi kepada usaha menuntut ilmu ilmu itu sendiri.

Pemikiran tentang tingkah laku dan moral manusia
Masyarakat Melayu juga mengaitkan persoalan-persoalan mengenai tingkah laku dan moral manusia dalam hubungan antara manusia dengan manusia. Moral di sini bermaksud satu sistem yang menilai tindakan zahir manusia itu sendiri.isu moral meliputi pemikiran, perasaan, dan niat di hati manusia dengan manusia. Nilai-nilai moral ini bersifat sementara, subjektif dan relatif. Di samping itu, segala tindak tanduk dan tingkah laku masyarakat yang wajar dan tidak wajar dilakukan juga diungkap dalam pentun Melayu. Hal ini bertujuan sebagai pengajaran dan teladan kepada masyarakat supaya dapat dipraktiskan dalam kehidupan seharian. Antara pantun yang menyatakan perihal tingkah laku dan moral manusia adalah seperti berikut:
Pantun 13:
            Ayun anak ayun
                        Ayun sampai hujung serambi
            Bangun anak bangun
                        Jangan tidur meninggi hari.

            Melalui pantun ke-13 di atas, membuktikan bahawa masyarakat Melayu tidak membudayakan tidur sehingga lewat hari atau dengan kata lainnya sehingga matahari naik. Hal ini demikian kerana selepas subuh merupakan masa mereka mencari rezeki. Mereka percaya amalan tidur sehingga tinggi hari akan menutup pintu rezeki mereka.
                                    Pantun 14:
                                                Burung kenek-kenek
                                                            Terbang ke pucuk tebu
                                                Pesan datuk nenek
                                                            Jangan derhaka pada ibu.

            Dalam contoh pantun yang ke-14 ini, masyarakat Melayu amat menitik beratkan hubungan anak-anak terhadap orang tuanya terutama ibu. Hal ini juga turut menjadi budaya yang ditanam dalam diri masyarakat Melayu melalui rangkap pantun. Menghormati ibu bapa adalah tanggungjawab anak-anak. Hal ini demikian kerana ibu bapalah yang banyak menabur bakti kepada anak-anak terutmanya ibu.
                                    Pantun 15:
                                                Tinggi rimbun pohon sena
                                                            Tempat bersarang si burung enggang
                                                Bantalku gebu tidak tidur lena
                                                            Ingatkan hutang keliling pinggang.

            Pantun ke-15 merupakan pantun yang menyatakan kehidupan bagi mereka yang berhutang. Hal ini merupakan pengajaran yang ingin diterapkan dalam diri masyarakat Melayu supaya tidak berhutang kerana dengan berhutang akan memakan menghantui diri mereka sendiri.
                                    Pantun 16:
                                                Anyam ketupat bawa belayar
                                                            Diletak di atas peti
                                                Hutang piutang dapat dibayar
                                                            Terhutang jasa dibawa mati.

            Pantun di atas juga menunjukan bahawa masyarakat Melayu menanamkan prinsip hutang budi tidak mampu dibayar dan dibawa mati. Segala jenis hutang-piutang berbentuk harta benda boleh dibayar, tetapi bukan hutang budi.
            Berdasarkan pantun-pantun di atas, jelaslah menunjukkan bahawa hubungan bahasa dan pemikiran masyarakat Melayu berkait rapat dengan tingkah laku dan moral. Pemikiran dan kebahasaan masyarakat Melayu yang terkandung dalam rangkap pantun bersifat humanistik dan relatif. Marilah kita sama-sama menghayati sedutan pantun di bawah sebagai halwa telinga dan mengkaji falsafah melayu itu sendiri.